REBOOT (2023 - Bismillah)
Assalamu'alaikum dear human~
Alhamdulillah, dapat mengisi sekali lagi ruang ekspresi maya ini dengan buku baharu bagi tahun 2023. Alhamdulillah!
Fuuh~ janggal rasanya setelah habis melepasi satu fasa demi satu fasa yang sangat menguji mental sekali lagi, dan kini kembali gagahkan jari jemari mengetik bait-bait fikiran dan perasaan.
Cheloteh yang mau dilotehkan kali ini serba sedikit tentang 'kesukaran hidup' (Based on true story, 😜 haha)
Hakikatnya, tiada sesiapapun di atas muka bumi ini tidak melalui kesukaran dalam kehidupan mereka. Tiada yang terkecuali. Semua kita diberikan ujian dengan kesukaran tertentu mengikut keupayaan dan kemampuan kita.
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".
(Al-Baqarah 2:286)
Erti kesukaran hidup tidak dapat diungkapkan dengan satu jawapan sahaja dan ketika kita sedang berbicara tentangnya, kebanyakan hanyalah keluhan yang terungkapkan bersama iringan kesakitan pada mental kita. Namun, pasti kita semua bersemangat dan bangga menceritakan pengalaman kita setelah melepasi kesukaran hidup, mengikut fasa tertentu yang sangat memberangsangkan diri kita sendiri. Malah, menjadi sumber inspirasi dan contoh tauladan kepada masyarakat di persekitaran kita.
Kita ibarat bekerja di atas pentas dunia dengan tajuk buku cerita masing-masing. Bab pertama yang bermula dengan kelahiran, kemudian dilayari perjalanan kisah zaman kanak-kanak menuju ke alam dewasa. Berisi dengan konflik, klimaks dan konspirasi yang mencetus kepada kesukaran hidup. Sehingga pada akhir kisah kita adalah sebuah peleraian atau perjalanan menuju kematian.
Yup, begitulah bentuk kitaran hidup kita semua di DUNIA. Kitaran yang sama namun, kesukaran yang berbeza. Pokok pangkalnya, adakah kita dapat meraih peleraian 'Happy Ending'?
Sebelum ke arah 'Happy Ending', kita perlu menyelesaikan kesukaran yang kita hadapi. Ada di antara kita kesukarannya adalah; kehilangan pekerjaan yakni sumber mata pencarian, kehilangan tempat tinggal, ada yang bermasalah dari segi kesihatan dan berjuang melawan penyakitnya, ada yang bermasalah dengan keluarga atau dengan rakan sekerja serta ada yang diuji dengan kehilangan insan tercinta. Kesukaran yang timbul ada bermacam-macam bentuk ujian dan tahapannya. Dimana, ada sebahagian kita berhenti dipertengahan jalan kerana putus harapan, buntuh mencari jalan penyelesaian. Lebih parah lagi, bunuh diri kerana penat, dan berfikir bahawa itu satu-satunya jalan penyelesaian. Walhal, itu hanya lebih memburukkan keadaan.
Tidak dinafikan, kepenatan pada jasad dan mental kita ketika sedang dalam fasa kesukaran. Terutama pada saat kita sedang bersendirian dan hanya mampu menangis sebagai ungkapan kata. Pada masa yang sama berhadapan dengan jalan buntuh serta tusukan kesakitan yang menyesakkan dada. (yeah, I got it...sehingga timbul fikiran untuk tamatkan kesakitan dengan cara yang tidak sepatutnya! You know what I mean~)
Oleh itu, cheloteh diri kali ini ingin berkongsi salah satu langkah awal untuk perlahan-lahan kita melepasi kesukaran itu. Inshaa Allah, mampu sedikit menyentuh 'Qolbu'.
~~~~~R.E.B.O.O.T
Seperti telefon pintar kita yang tidak pernah lekang ditangan, kita biasanya akan 'reboot' atau kebiasaannya disebut 'RESTART' apabila telefon pintar kita tersekat atau kesukaran untuk berfungsi dengan baik. Maka kita akan 'reboot' untuk segarkan semula telefon kita, agar masalah tadi hilang dan telefon dapat digunakan semula dengan lancar. Namun, memori atau kandungan di dalamnya tidak terhapuskan...
Bagi kita manusia pula, 'reboot' merupakan salah satu tombol yang sering kira abaikan untuk tekan. Malah, kita lebih suka memaksa diri kira menjalani proses seperti belon. Terus berkembang dengan tiupan angin yang tidak berhenti hingga pada akhirnya MELETUP. Sedangkan setiap jenis belon punya batas kandungan udara tertentu. Sama halnya dengan kita, sebagai manusia sudah lumrah mempunyai had kemampuan tertentu. Oleh itu, menekan butang Reboot di kehidupan kita adalah sebuah pilihan. Berhenti sejenak, munasabah seketika dengan mengambil ritma nafas yang stabil untuk rehatkan fizikal, dan mental kita.
Tidak perlu terburu-buru. Make it slow, but surely. Sungguh akan memakan masa kerana "Reboot" adalah satu keputusan besar untuk kita tekan sebagai manusia difasa kesukaran, kesakitan, kepenatan dan kegelapan.
Intipati dalam REBOOT:
1. Berhenti dari segala kegiatan tentang suatu yang sedang kita perjuangkan.
Perjuangan itu boleh jadi adalah dilema yang sedang menyukarkan, menyakitkan dan melelahkan serta telah memakan masa yang cukup lama atau memudaratkan diri dan orang lain. Ditambah, dalam fasa itu juga ia malah membuat kita semakin jauh dari Sang Pencipta dan alpa akan dunia fana. Contohnya, perjuangan dalam memperebutkan atau mempertahankan harta dalam keluarga. Konflik yang pastinya menghancurkan sebuah hubungan kekeluargaan dan perkara ini adalah antara yang sangat tidak disukai Allah S.W.T. Keadaan begini sudah pasti akan sangat menyesakkan fikiran kita. Bukan itu saja ada banyak bentuk perjuangan yang 'Salah' namun, kita berusaha keras pertahankan dengan cara yang tidak sewajarnya. Maka, ketika kita sudah menyedari akan perjuangan yang tidak bermanfaat untuk dunia dan akhirat kita, berhentilah.
2. Melepaskan, mengikhlaskan, meredhakan, dan tawakkal.
Pastinya setelah kita berhenti, maka ia adalah fasa untuk melepaskan. Hal ini kerana, kita tidak akan mengulangi perbuatan yang sama lagi. Ini merupakan fasa yang sangat berat dan memakan waktu. Ditambah lagi tumbuhnya rasa sayang dan cinta dalam perjuangan yang terpesong itu. Namun, dengan kuatnya hati kita demi kembali dan mengejar nikmat Cintanya Allah, kita akan mampu melepaskan dan mengikhlaskan. Dari titik itu sahaja, akan tumbuh rasa nikmat untuk meredhakan segala yang telah terjadi serta belajar erti tawakkal. Sesungguhnya:
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (QS. Al Baqarah: 216).
3. Kebangkitan semula (Hijrah).
Maksudnya, kembali semula ke jalan yang benar. Proses yang seiring dengan intipati kedua, iaitu meninggalkan segala perbuatan (tidak baik) itu kemudian menuju kearah perbuatan (baik) yang di perintahkan Allah. Perlahan-lahan heret jasad kita hingga pada akhirnya mampu berdiri teguh di atas tikar sejadah dan menikmati teduhnya taubat dalam sujud.
Demikian intipati butang Reboot Kehidupan kita sebagai manusia yang dapat dikongsikan dari secuil pengalaman hidup yang telah memberi seribu satu makna bagi perjalanan seterusnya. Dan kini masih menjalani fasa berjuang untuk istiqomah dalam bermujahadah di kehidupan fana ini. Semoga setelah menekan butang Reboot walau berulang kali, kita tetap bangkit dan terus berusaha mengejar Cintanya Allah.
Jom sama-sama kembali bulatkan tekad kita:


Comments
Post a Comment